top of page
Search

Karya seni Sarkasi Said akan dilelongkan, kumpul dana naik taraf Masjid Pusara Aman


SINGAPURA: Sebuah karya seni tokoh batik tersohor tanah air, Allahyarham Sarkasi Said bakal dilelongkan bagi mengumpul dana untuk projek naik taraf Masjid Pusara Aman.



Karya batik Encik Sarkasi itu didermakan oleh anaknya Ika Zahari Sarkasi kepada Masjid Pusara Aman selepas pihak masjid bertemu dengan Encik Ika untuk mencadangkan idea mengadakan lelong amal bagi karya seni Allahyarham.


Dana yang dikumpulkan daripada lelongan amal yang buat julung-julung kalinya diadakan oleh Masjid Pusara Aman itu akan disalurkan sepenuhnya kepada kerja-kerja naik taraf masjid.



Bersama karya Encik Sarkasi, dua lagi karya oleh pelukis kurang upaya Hadijah Ali juga bakal dilelongkan.



Dengan mengetengahkan karya seni tempatan, inisiatif itu mencerminkan usaha kreatif dan tidak konvensional Masjid Pusara Aman dalam mengumpul dana.



Lelongan amal itu akan diadakan secara senyap di mana mereka yang berminat boleh meletakkan harga bidaan secara tertutup.



"Lelongan amal senyap ini adalah hasil sumbang saran ahli Pembangunan Keluarga untuk memberi impak yang positif dalam usaha kami untuk mengumpul dana.


"Pendekatan mengumpul dana dengan cara tidak konvensional ini selaras dengan usaha merealisasi visi transfomasi Masjid Pusara Aman yang dikenali sebagai sebuah masjid kubur kepada masjid kampung yang dinamis dan progresif, mampu memberi manfaat secara holistik kepada masyarakat Islam Singapura," kata Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Masjid Pusara Aman, Ilham Luhur Sujadi.



Karya Pak Sarkasi akan dilelongkan dengan harga permulaan sebanyak $5,500 manakala karya-karya Cik Hadijah pada harga $400 dan $250.


Dana yang terkumpul akan disalurkan sepenuhnya kepada projek naik taraf Masjid Pusara Aman dan disumbangkan atas nama kedua-dua seniman tersebut sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan warisan seni mereka.



"Hasil kutipan dana akan digunakan untuk menyokong dana naik taraf masjid yang bertujuan untuk meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan di Masjid Pusara Aman di mana kami menyediakan dua bilik mandian jenazah secara percuma untuk kegunaan masyarakat islam. Kemudahan yang baik dapat memberi keselesaan untuk jemaah," kongsi beliau.



Selain itu, ruang wuduk masjid turut akan dinaik taraf agar lebih mesra pengguna, khususnya bagi individu yang berkerusi roda dan warga emas.



"Perkara yang menarik dalam hal ini adalah, kami pelajari bahawa karya seni yang tidak melanggar prinsip moral dan etika Islam mempunyai potensi untuk menyumbang kepada masjid sebagai sumber untuk mengumpul dana melalui wadah eksklusif seperti Lelongan Amal Senyap


"Pengalaman istimewa ini juga mendidik kami di sektor masjid supaya berani mencabar minda untuk berfikir di luar kotak supaya lebih kreatif dalam menangani masalah" kata Encik Ilham.



Pihak masjid juga melihat inisiatif itu sebagai jambatan untuk merapatkan hubungan antara seni, agama, dan masyarakat.



"Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat menyampaikan mesej bahawa seni dan agama dapat hidup bersama secara harmoni dan seiring dengan nilai-nilai Islam yang mengajar tentang keindahan, "ujat Encik Ilham.


MENYATUKAN MASYARAKAT MELALUI ACARA JEMBATAN CINTA ABADI 3.0



Acara lelongan amal itu bakal diadakan sempena program tahunan masjid, 'Jembatan Cinta Abadi' yang memberi fokus kepada pengukuhan institusi kekeluargaan dalam kalangan umat Islam.



Edisi ketiga acara itu bermatlamat untuk memperkukuh ikatan suami isteri dalam kalangan masyarakat Islam.



"Hasil kajian kami menunjukkan bahawa perceraian dapat dibendung sekiranya pasangan suami-isteri istiqomah mencintai antara satu sama lain sepanjang menjalankan hidup bersama hingga akhir hayat dan disertai dengan nilai-nilai keislaman," kongsi Encik Ilham.



Semasa acara, pembida tertinggi akan menerima karya seni Allahyarham Sarkasi Said secara istimewa yang disampaikan oleh anak beliau, Ika Zahari Sarkasi.



Antara sorotan utama acara adalah sesi perbincangan panel yang menyentuh isu-isu penting dalam kehidupan berumah tangga termasuk cara mengekalkan cinta, membina kepercayaan dan membentuk ketahanan dalam perkahwinan.



Para panel terdiri daripada Ustaz Dr Yusri Yusoff dan Ustazah Dr Rohana Ithnin, dua tokoh yang dihormati dalam bidang pembangunan keluarga dan keagamaan.



Acara 'Jembatan Cinta Abadi 3.0' akan berlangsung pada 11 Oktober 2025

 
 
 

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page